Blog

Niat Cara Mandi Wajib Panduan Lengkap

Apakah cara dan niat Mandi Wajib?

Artikel ini akan menerangkan bagaimana niat mandi wajib dan cara-cara untuk melakukannya secara mudah.

DEFINISI

Mandi wajib merupakan salah satu kaedah thaharah atau bersuci yang menjadi tuntutan wajib ke atas setiap kaum muslimin. Ia menjadikan amalan kita memenuhi syarat sah dalam ibadah untuk diterima Allah SWT seperti solat, tawaf dan tilawah Al-Quran.

Bila Perlu Mandi Wajib?

Mandi wajib bermaksud mandi yang mengangkat atau menyucikan diri kita daripada hadas besar yang berpunca daripada:

1. Keluarnya air mani
2. Jimak (Persetubuhan)
3. Suci daripada haid
4. Selepas keluar darah nifas (Darah yang keluar setelah melahirkan anak)
5. Wiladah (Darah yang keluar Ketika melahirkan anak)
6. Mati selain mati syahid
7. Muallaf yang baru memeluk agama Islam

HURAIAN

1. KELUARNYA AIR MANI

Apabila seseorang itu keluar air mani sama ada sengaja ataupun tidak, maka wajib ke atasnya untuk mensucikan dirinya dengan mandi wajib. Perkara ini dinyatakan di dalam surah Al-Ma’idah ayat 6:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ ۚ وَإِن كُنتُمْ جُنُبًا فَاطَّهَّرُوا ۚ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali; dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib…” (Al-Ma’idah: 6)

2. JIMAK (PERSETUBUHAN)

Pertemuan dua alat kemaluan (khitanain) di antara lelaki dan perempuan adalah salah satu asbab yang jatuhnya hukum wajib mandi wajib meskipun tidak keluar air mani. Terdapat riwayat di dalam Sunan At-Tirmidzi (no 109) yang berbunyi:

عَنْ سَعِيدِ بْنِ المُسَيِّبِ، عَنْ عَائِشَةَ، قَالَتْ: قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «إِذَا جَاوَزَ الخِتَانُ الخِتَانَ وَجَبَ الغُسْلُ»

Maksudnya: Dari Sa’id bin Musayyib bahawa Saidatina Aisyah R.A. berkata, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Jika saling bertemu di antara satu kemaluan dengan kemaluan yang lain, maka wajib ke atasnya mandi.” (Hadis Aisyah bertaraf Hasan Sahih)

3. SUCI DARIPADA HAID

Seorang wanita yang suci daripada haid sama ada darahnya berhenti di antara 1 hari sehingga 15 hari (tempoh maksimum), maka wajib ke atasnya untuk melakukan mandi wajib. Seperti riwayat daripada Saidatina Aisyah R.A. di dalam Sahih Bukhari (no 306):

إِنَّمَا ذَلِكِ عِرْقٌ وَلَيْسَ بِالحَيْضَةِ، فَإِذَا أَقْبَلَتِ الحَيْضَةُ فَاتْرُكِي الصَّلاَةَ، فَإِذَا ذَهَبَ قَدْرُهَا، فَاغْسِلِي عَنْكِ الدَّمَ وَصَلِّي

Maksudnya: “Sesungguhnya itu adalah peluh dan bukan haid. Jika kamu bertemu dengan haid, maka tinggalkanlah solat. Jika tempohnya telah selesai, maka mandilah sucikan daripada dirimu darah tersebut dan tunaikanlah solat.”

4. SUCI DARIPADA NIFAS

Wanita yang suci daripada darah nifas diwajibkan juga ke atas mereka untuk melaksanakan mandi wajib. Perkara ini disebutkan di dalam Sunan As-Saghir Lil Baihaqi (no 169):

وَغُسْلِ الْمَرْأَةِ مِنْ حَيْضَتِهَا وَنَفَاسِهَا كَغُسْلِهَا مِنَ الْجَنَابَةِ

Maksudnya: “Dan mandi bagi wanita yang suci daripada haid dan nifas dalah sama seperti mandinya daripada junub.”

5. WILADAH

Pada kebiasaannya, setiap wanita yang melahirkan anak akan mengalami keluarnya darah wiladah dan nifas. Jika wanita itu bersalin tanpa darah sekalipun, maka dia perlu juga melaksanakan mandi wajib.

Ini termasuklah jika seorang wanita itu mengalami keguguran dan kandungannya keluar dalam bentuk gumpalan darah ( عَلَقَةٌ ) mahupun gumpalan daging ( مُضْغَةٌ ) serta proses kelahiran melalui pembedahan.

6. KEMATIAN

Di dalam Sunan Abu Daud (no 2745), Ibnu Abbas R.A. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW memerintahkan:

اغْسِلُوهُ بِمَاءٍ وَسِدْرٍ، وَكَفِّنُوهُ فِي ثَوْبَيْنِ

Maksudnya: “Mandikannya dengan air dan pohon bidara, dan kafankannya di dalam dua lapisan kain…”

Berdasarkan beberapa riwayat hadis daripada Rasulullah SAW tentang memandikan jenazah, maka para ulama bersepakat bahawa memandikan jenazah selain mati syahid adalah wajib.

7. MUALLAF YANG MEMELUK AGAMA ISLAM

Di dalam Sunan Al Kubra Lil Baihaqi, terdapat riwayat daripada Sa’id bin Abi Sa’id Al-Maqburi yang mendengar bahawa Abu Hurairah R.A. berkata:

806 – قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ” أَطْلِقُوا ثُمَامَةَ ” فَانْطَلَقَ إِلَى نَخْلٍ قَرِيبٍ مِنَ الْمَسْجِدِ فَاغْتَسَلَ ثُمَّ دَخَلَ الْمَسْجِدَ فَقَالَ: أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ، وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللهِ

Maksudnya: Rasulullah SAW bersabda: “Kalian lepaskanlah Tsumamah.” Kemudian dia pergi ke sebuah pohon kurma berdekatan masjid dan mandi kemudian dia masuk semula ke dalam masjid dan mengucapkan: Aku bersaksi tiada Tuhan selain Allah, dan Nabi Muhammad utusan Allah.”

CARA MANDI WAJIB

Terdapat 2 rukun mandi wajib:

1. Niat Mandi Wajib

Bacaan Rumi Niat Mandi Wajib:

Nawaitu rof’al hadathil akbar Lillah Ta’ala

Maksudnya: “Sahaja aku mengangkat hadas besar kerana Allah Ta’ala.”

2. Merata air ke seluruh permukaan anggota badan yang zahir.

Wajib meratakan air di bahagian:

* Rambut
* Kulit kepala
* Bulu-bulu di seluruh anggota badan
* Kelopak mata
* Kulit telinga
* Ketiak
* Celah kuku tangan dan kaki
* Celah jari jemari
* Pusat
* Kemaluan perempuan yang zahir pada masa ia duduk membuang air kecil
* Celah kangkang
* Di antara dua otot punggung
* Lipatan dan belakang siku dan lutut

Jika terdapat anggota badan yang tidak terkena air, maka mandi wajib tersebut tidak sah.

AMALAN SUNNAH KETIKA MANDI WAJIB

Selain 2 rukun wajib, ada beberapa amalan sunnah yang boleh dilakukan.

1. Membasuh kemaluan dan kotoran yang ada dengan tangan kiri
2. Membaca Bismillah (di dalam hati jika di dalam bilik air/tandas)
3. Memulakan dengan membasuh kedua pergelangan tangan
4. Menghadap kiblat
5. Berwudhu sebelum memulakan mandi wajib
6. Mendahulukan dengan anggota badan sebelah kanan
7. Mengulang sebanyak 3 kali bagi setiap anggota badan
8. Mengakhiri mandi dengan doa:

أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيْكَ لَهُ ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ ، اللّهُمَّ اجْعَلْنِي مِنَ التَّوَّابِيْنَ وَاجْعَلْنِي مِنَ المُتَطَهِّرِيْنَ وَاجْعَلْنِي مِنْ عِبَادِكَ الصَّالِحِيْنَ

Asyhadu an laa ilaaha illallah wahdahu laa syariika lah, wa asyhadu anna Muhammadan ‘abduhu wa Rasuuluh, Allahummaj’alni minat tauwaabiin waj’alni minal mutathohhiriin waj’alni min ‘ibaadikas soolihiin.

Maksudnya: “Aku bersaksi tiada Tuhan selain Allah Yang Maha Esa tiada sekutu bagi-Nya, dan aku bersaksi Nabi Muhammad adalah hamba-Nya dan utusan-Nya. Ya Allah, jadikanlah daku daripada golongan orang-orang yang bertaubat, dan jadikanlah daku daripada golongan orang-orang yang bersuci, dan jadikanlah daku daripada golongan hamba-hamba-Mu yang soleh.”

PESOALAN-PERSOALAN LAZIM BERKAITAN MANDI WAJIB

1. Apakah hukum orang berjunub tidur sebelum mandi wajib?

Disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Umar R.A beliau berkata : اسْتَفْتَى عُمَرُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم أَيَنَامُ أَحَدُنَا وَهوَ جُنُبٌ قَالَ نَعَمْ إِذَا تَوَضَّأَ

Maksudnya : Umar pernah bertanya kepada Nabi S.A.W : ‘’Adakah boleh seseorang dari kami tidur dalam keadaan dia berjunub ?’’. Lalu jawab Rasulullah S.A.W : ‘’Ya boleh, apabila dia telah berwuduk’’. (HR. Bukhari)

2. Adakah boleh menggabungkan dua niat untuk satu mandi wajib?

Menurut Mufti Wilayah yang dipetik daripada At-Taqrirat As-Sadidah fil Masailil Mufidah (no 118), Syeikh Hassan Al-Kaf menjelaskan:

مَسْأَلَةٌ (1): إِذَا اجْتَمَعَ عَلَيْه غُسْلَانِ وَاجِبَانِ فَأَكْثَرَ (كَالجِمَاعِ وَ خُرُوجِ المَنِيّ) فَهَلْ تَكْفِي عَنْهُمَا نِيَّةُ وَاحِدَةٌ؟

الجواب: نَعَمْ تَكْفِى نِيَّةٌ وَاحِدَةٌ لَهُمَا. وَ مِثْلُهُ فِي غُسْلِ السُنَّةِ

Maksudnya:Permasalahan 1: Jika sekiranya berkumpul dua atau lebih sebab yang menyebabkan wajib untuk mandi junub seperti jima’ dan keluar air mani contohnya, adakah memadai dengan satu niat sahaja. Jawapan:Ya, memadai dengan satu niat sahaja bagi kedua-dua sebab tersebut.Sama juga bagi mandi sunat (iaitu memadai satu niat sahaja untuk dua mandi sunat).

3. Adakah dibolehkan mandi wajib tanpa seurat benang?

Menurut Dr. Zulkifli Al-Bakri di dalam Irsyad Al-Fatwa Ke-15 Mufti Wilayah Persekutuan bahawa mandi telanjang adalah makruh dan sebahagian ulama’ mazhab Syafi’iyyah menguatkan pendapat haram.

4. Adakah dibolehkan untuk mandi wajib di tempat terbuka seperti kolam?

Menurut Riwayat di dalam Sunan Abu Daud (no 4012) dan Sunan An-Nasa’I (no 406), Nabi SAW pernah bersabda di atas mimbar selepas mendapati seorang lelaki mandi di tanah lapang:

«إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ حَيِيٌّ سِتِّيرٌ يُحِبُّ الْحَيَاءَ وَالسَّتْرَ فَإِذَا اغْتَسَلَ أَحَدُكُمْ فَلْيَسْتَتِرْ»

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla Maha Penyayang, Maha Pemalu lagi Maha Penutup aib, menyukai sifat pemalu dan menutup (aib). Apabila seseorang di antara kamu hendak mandi, maka dia hendaklah menutup diri.“

Daripada riwayat ini dan disokong oleh riwayat Abu Sa’id Al-Khudri dan Jabir R.A. bahawa Rasulullah SAW menyuruh agar kita berhati-hati apabila pergi ke tempat mandi yang terbuka khususnya golongan wanita untuk mengelakkan pendedahan aurat berlaku.

5. Adakah perlu menggosok anggota badan ketika mandi wajib sedangkan telah berwudhu’?

Perbuatan menggosok anggota badan dengan tangan disebut sebagai “Ad-Dalak” ( الدلك ). Di dalam Musnad Imam Ahmad, Abdullah bin Zaid meriwayatkan: أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَوَضَّأَ فَجَعَلَ يَقُولُ: «هَكَذَا يَدْلُكُ»

Maksudnya: “Bahawa Nabi SAW berwudhu’ kemudian baginda melakukan begini, iaitu baginda menggosok (anggota wudhu’)” (HR. Ahmad)

Imam Syafi’e mengatakan di dalam kitabnya Al-Umm dalam isu mandi wajib:

وَأُحِبُّ لَهُ أَنْ يُدَلِّكَ مَا يَقْدِرُ عَلَيْهِ مِنْ جَسَدِهِ فَإِنْ لَمْ يَفْعَلْ وَأَتَى الْمَاءُ عَلَى جَسَدِهِ أَجْزَأَهُ

Maksudnya: “Dan aku suka sekiranya dia menggosok kadar yang dia mampu dari bahagian badannya. Namun sekiranya dia tidak melakukannya dan mengenakan air kepada anggota tubuhnya maka itu telah mencukupi.” Al-Umm, Al-Syafi’e (1/57)

Jadi di dalam hal ini, menggosok anggota badan Ketika mandi wajib adalah digalakkan. Namun ia telah mencukupi bagi seseorang itu melalukan sahaja air pada kulit bahagian luar demi menjaga wudhu’nya.

6. Perlukah berwudhu’ semula selepas mandi wajib?

Wudhu’ adalah perkara sunat ketika mandi wajib, ia dianjurkan untuk dilakukan kerana termasuk daripada sebahagian perbuatan mengangkat hadas kecil. Namun selepas melakukan mandi wajib, terdapat riwayat di dalam Sunan Abu Daud yang menyatakan Nabi Muhammad SAW tidak menglanginya semula: عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ: «كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَغْتَسِلُ وَيُصَلِّي الرَّكْعَتَيْنِ وَصَلَاةَ الْغَدَاةِ، وَلَا أَرَاهُ يُحْدِثُ وُضُوءًا بَعْدَ الْغُسْلِ»

Maksudnya: Daripada Saidatina Aisyah R.A. berkata: “Rasulullah kerap mandi kemudian melakukan solat dua rakaat dan solat subuh. Dan aku tidak melihatnya memperbarui wuduknya setelah mandi.”

Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Daud, Tirmidzi dan An-Nasa’i. Penggunaan kata “kaana” dan disusuli dengan fi’il mudhari (present tense) menunjukkan bahawa Nabi SAW melakukannya secara berkesinambungan.

7. Adakah sah puasa di bulan Ramadhan jika terlewat mandi wajib?

Di dalam Sahih Al-Bukhari, Saidatina Aisyah R.A. dan Ummu Salamah R.A. mengatakan: أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ «يُدْرِكُهُ الفَجْرُ وَهُوَ جُنُبٌ مِنْ أَهْلِهِ، ثُمَّ يَغْتَسِلُ، وَيَصُومُ»

Maksudnya: “Bahawa Rasulullah SAW mengetahui telah masuknya waktu Subuh dan baginda dalam keadaan junub disebabkan ahli keluarganya, kemudian baginda mandi dan berpuasa.” (HR. Bukhari)

8. Apakah perlu mandi wajib ketika mimpi basah di siang hari Ramadhan? Dan bagaimana dengan puasa?

Berdasarkan hadis di dalam Sunan Abu Daud (no 2376):

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «لَا يُفْطِرُ مَنْ قَاءَ، وَلَا مَنْ احْتَلَمَ، وَلَا مَنْ احْتَجَمَ»

Maksudnya: Rasulullah SAW bersabda: “Tidak berbuka (batal puasa) sesiapa yang muntah, tidak juga sesiapa yang bermimpi dan tidak juga sesiapa yang berbekam.”

Bagi sesiapa yang mengalami mimpi basah di siang hari Ramadhan tanpa disengaja, maka wajib baginya untuk mandi wajib dan meneruskan puasa seperti biasa. Tetapi, jika air mani itu keluar atas sebab yang disengajakan, wajib baginya untuk mandi wajib dan menggantikan puasa hari tersebut. Jika ia melibatkan persetubuhan, wajib ke atasnya untuk turut membayar kaffarah.

Wallahu a’lam.

RUJUKAN:

1. Al Kafi lil Fatawi, Mufti Wilayah Persekutuan
2. Irsyad Al Fatawa, Mufti Wilayah Persekutuan
3. Sahih Bukhari
4. Sunan At-Tirmidzi
5. Sunan Abu Daud
6. Sunan As-Saghir Lil Baihaqi
7. Sunan Al Kubra Lil Baihaqi
8. Musnad Imam Ahmad
9. Al-Umm, Imam Syafi’e